Refleksi

  Disediakan Oleh:
Fatin Farhani binti Zulkifli

Pertama sekali ingin saya panjatkan rasa syukur saya ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapat juga saya pada akhirnya menyiapkan kerja kursus subjek Kemahiran Belajar (GKB1053) ini dengan jayanya. Syukur juga saya panjatkan kerana diberi ilham dan idea dalam usaha menyempurnakan kerja kursus ini.

           Kerja kursus ini merupakan kerja kursus pertama saya sebagai pelajar IPG memandangkan saya merupakan pelajar tahun pertama Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) di IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka ini. Jujur saya katakan, kerja kursus di sini bagi saya amat mencabar untuk diselesaikan kerana terdapat banyak perbezaan jika ingin dibandingkan dengan kerja kursus pada waktu saya masih bersekolah dahulu. Kerja kursus di sini memerlukan saya untuk membuat lebih banyak kajian dengan lebih teliti dan pembacaan yang banyak serta pemahaman yang tinggi kerana tugasan-tugasan yang diberikan lebih meluas dan kompleks. Saya akui, terdapat banyak masalah dan kekangan yang perlu saya hadapi sepanjang tempoh menyempurnakan kerja kursus ini memandangkan ini merupakan pengalaman pertama saya sebagai guru pelatih dalam menyiapkan kerja kursus. Namun, segala masalah dan kekangan tadi dapat saya atasi berkat kesabaran saya serta sokongan dan dorongan daripada orang-orang di sekeliling saya.

           Masalah saya yang paling utama dalam menyiapkan blog ini ialah masalah untuk menguruskan blog ini sendiri. Jujur saya katakan, ini adalah pengalaman saya yang pertama dalam menghasilkan blog memandangkan saya tidak pernah memiliki blog sendiri sebelum ini. Sebelum ini saya hanya berminat untuk membaca blog-blog yang dihasilkan oleh orang lain sahaja. Namun, apabila kami diminta untuk menghasilkan sebuah blog sebagai memenuhi permintaan kerja kursus, saya pada mulanya agak takut untuk menghasilkannya sendiri kerana penguasaan saya dalam bidang teknologi komputer ini sangat lemah. Saya masih belum dapat menguasai sepenuhnya mengenai perisian-perisian yang terdapat dalam komputer ini melainkan hanya perisian-perisian asas. Saya bimbang yang saya mungkin akan ditinggalkan jauh ke belakang atas kekurangan saya ini memandangkan rakan-rakan sekelas yang lain sangat mahir dalam menggunakan komputer. Saya yang pada mulanya menghadapi masalah untuk mencari dan meletakkan aksesori-aksesori tambahan ke dalam blog saya kerana saya bukanlah seorang yang kreatif, yang juga tidak mampu menghias blog saya agar tampak menarik. Namun, saya akhirnya berjaya menghadapi masalah tersebut apabila pensyarah subjek ini dan rakan-rakan sekelas telah memberi tunjuk ajar yang lengkap dan padat kepada saya mengenai aksesori-aksesori tambahan yang perlu diletakkan di dalam blog saya. 

           Apa yang saya belajar daripada pengalaman ini ialah, saya sebagai seorang bakal guru haruslah mempelajari lebih banyak kemahiran dan menguasainya kerana pada zaman hari ini, semua perkara memerlukan seseorang itu untuk menguasai kemahiran-kemahiran asas seperti kemahiran menggunakan komputer. Masalah ini telah menjadi cabaran utama bagi saya memandangkan kanak-kanak yang bakal saya ajar kelak mungkin lebih mahir dan cekap dalam mengendalikan peralatan elektronik seperti komputer kerana mereka lahir dan membesar dalam keadaan yang serba lengkap. Jadi, saya perlu menguasai kemahiran menggunakan komputer ini supaya kelayakan saya sebagai seorang bakal guru tidak diragui. Saya juga harus lebih kreatif dalam melakukan apa-apa juga perkara sama seperti menghias blog ini. Saya harus kreatif dalam mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) kerana saya bimbang kanak-kanak akan mudah bosan jika corak pembelajaran sama dari awal tahun sehingga akhir tahun. Kebosanan akan menyebabkan mereka tidak mahu datang ke sekolah langsung.  Apatah lagi bagi saya, yang bakal mengajar kanak kanak yang berumur antara empat hingga enam tahun. Perhatian mereka perlu saya ambil supaya mereka dapat setiap input yang saya sampaikan seterusnya menarik minat mereka untuk terus datang ke sekolah.

           Masalah seterusnya yang perlu saya hadapi ialah masalah pengurusan masa. Jujur saya katakan, saya bukanlah seorang yang mahir dalam menyusun jadual harian saya. Saya bahkan tidak mempunyai jadual perancangan yang rapi bagi aktiviti harian saya. Tutorial, perbincangan kumpulan, pembentangan dan kuiz serta ujian bagi subjek-subjek lain adalah perkara-perkara yang turut memerlukan perhatian daripada saya. Saya perlu menyelesaikan semua ini dengan kadar yang segera kerana tempoh masa yang diberikan untuk menyelesaikan semuanya sangat singkat. Dalam usaha menghasilkan blog yang sempurna, saya perlu mengambil masa yang lama untuk mengurus blog saya. Hal ini ada kalanya telah mengehadkan masa saya untuk menumpukan perhatian saya kepada blog ini kerana faktor-faktor lain yang telah saya sebutkan tadi. Ada kalanya juga saya menghadapi masalah pertembungan masa dengan rakan-rakan sekelas yang lain apabila masa yang telah saya peruntukkan untuk mengurus blog ini telah bertembung dengan perbincangan kumpulan misalannya. Jadi saya mengambil jalan penyelesaian dengan mengambil waktu yang betul-betul lapang untuk menyiapkan blog saya dengan menyiapkan semua tugasan yang memerlukan kami untuk berbincang sebagai satu kumpulan.

           Pengajarannya di sini ialah, kita sebagai satu kumpulan harus saling bertoleransi dengan ahli kumpulan kita yang lain. Saya  tidak boleh bersikap mementingkan diri saya sendiri memandangkan kerjasama adalah tunggak dalam gerak kerja secara berpasukan. Saya juga tidak boleh mengharapkan orang lain sentiasa memahami kepadatan jadual harian saya kerana sudah memang menjadi adat dan perkara biasa bagi seorang pelajar dalam menghadapi situasi kepadatan jadual seperti ini. Saya dapat belajar untuk memupuk sikap toleransi dalam diri saya memandangkan saya perlu bertoleransi dengan anak-anak murid saya nanti, yang bersesuaian dengan keadaan pada masa itu. Sikap toleransi dalam perkataan dan perbuatan ini kadangkala boleh menunjukkan kematangan kita dalam bertindak mengikut situasi yang sedang berlaku.

           Setelah berjaya menghasilkan sebuah blog mengikut tuntutan kerja kursus, saya dapati yang pada zaman teknologi maklumat dan komunikasi ini, adalah sangat penting dan boleh dikatakan wajib bagi setiap individu untuk mempelajari cara-cara menggunakan komputer dan menguasainya. Hal ini kerana, segala maklumat seolah-olah berada di hujung jari kita apabila kita tahu di mana kita boleh mendapatkan segala maklumat. Memang benar mencari bahan di perpustakaan adalah lebih baik kerana bersifat lebih ilmiah berbanding bahan-bahan yang boleh di dapatkan melalui komputer dan internet. Namun, maklumat yang saya katakan di sini adalah tentang maklumat dan isu-isu semasa yang berlaku di serata dunia. Kita boleh mendapatkan maklumat mengenainya hanya dengan menekan beberapa butang sahaja. Jadi mengapa perlu bersusah payah mencari jika kita boleh lakukan semuanya dalam sekelip mata?

           Sebagai seorang bakal guru, amatlah penting bagi saya untuk mempraktikkan segala kemahiran dalam bidang teknologi yang telah diajarkan kepada saya ini supaya saya boleh menjadi seorang guru yang berilmu tinggi bukan sahaja dalam bidang pendidikan yang berkaitan dengan buku, malahan turut menjadi seorang yang berilmu tinggi dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi ini supaya kelayakan saya sebagai seorang guru kelak tidak akan dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
          

           

No comments:

Post a Comment